SEJARAH (II) UNTUK STPM

浏览上一个主题 浏览下一个主题 向下

SEJARAH (II) UNTUK STPM

帖子 由 *baby* 于 周一 七月 27, 2009 10:14 am

China

Soalan 1: Bincangkan matlamat-matlamat dan kesan-kesan Gerakan 4 Mei (1917-1923).

Gerakan ini merupakan satu kebangkitan semangat nasionalisme rakyat
China sebagai satu tindakan memprotes kegiatan imperialisme yang
ditekankan ke atas China. Gerakan 4 Mei ini mencakupi period antara
tahun 1917 apabila isu wilayah Shantung mula dipertikaikan sehinggalah
tahun 1923. Ia disebutkan sebagai Gerakan 4 Mei kerana pada tarikh
tersebutlah bermulanya protes yang nyata dari golongan intelektual
China. Di mana pada 4 Mei 1919, kira-kira 5000 orang pensyarah dan
mahasiswa dari 13 institusi pengajian tinggi termasuklah Universiti
Peking mengadakan tunjuk perasaan membantah keputusan persidangan damai
mengenai Shantung. Gerakan 4 Mei telah mempengaruhi perlembagaan
politik dan sosial di negeri China.


Faktor utama yang telah mengakibatkan kemunculan Gerakan 4 Mei ialah
Versailles yang telah memutuskan bahawa bekas hak-hak Jerman di
Shantung diserahkan kepada Jepun. Sewaktu meletusnya Perang Dunia
Pertama, Jepun telah bertindak merampas konssi-konsesi Jerman di
Shantung. Perjanjian Versailles pada tahun 1919 menyerahkan hak-hak
Jerman di Shantung kepada Jepun. Keputusan Perjanjian Versailles ini
mengakibatkan satu demonstrasi oleh 5000 orang pelajar di Peking pada 4
Mei 1919. Mereka menuntut pengembalian hak-hak China di Shantung dan
mendesak Kerajaan China supaya tidak menandatangani Perjanjian
Versailles.


Pada 18 Januari 1915, Jepun telah membuat 21 Tuntutan dalam 5 kumpulan
ke atas China. Penerimaan tuntutan ini akan menjadikan China tergadai
kemerdekaan kepada Jepun. Antara lain tuntutan tersebut mensyaratkan
China mestilah berjanji tidak akan menyerahkan/memajakan kepada ketiga
mana-mana pelabuhan, teluk/pulau di sepanjang pantainya. China juga
dikehendaki mengambil penasihat-penasihat Jepun dan menyetujui apa-apa
keputusan yang akan dicapai oleh Jepun dengan Jerman berkenaan dengan
hak-hak Jerman di Shantung. Selepas beberapa rundingan, China telah
menerima tuntutan tersebut dengan beberapa pindaan yang
menguntungkannya. Namun demikian, golongan pelajar menganggap tuntutan
berkenaan sebagai satu penghinaan terhadap China. Justeru itu, golongan
pelajar telah menuntut supaya Kerajaan China menolak sama sekali 21
Tuntutan berkenaan. Mereka juga mendesak Kerajaan China supaya
menghukum 3 orang ahli politik pro-Jepun yang dipercayai beri jawab
atas penerimaan tuntutan-tuntutan berkenaan oleh China.


Secara keseluruhannya, Gerakan 4 Mei telah berjaya mencapai
matlamat-matlamatnya. Oleh sebab desakan-desakan yang hebat dari
golongan pelajar, pedagang dan pekerja yang mendapat sokongan dari
masyarakat China, perwakilan China di Persidangan Damai Versailles
enggan menandatangani Perjanjian Versailles kerana syarat-syaratnya
yang berat sebelah. Ketiga-tiga pegawai China yang pro-Jepun dan
dianggap bertanggungjawab atas penerimaan 21 Tuntutan oleh China
dipaksa meletakan jawatan. Sementara kebinet Republik China yang
dipimpin oleh Tuan Chi Jai terpaksa menarik diri.


Sementara pihak Amerika yang kemudiannya menyedari bahawa terlalu
banyak keistimewaan telah diberikan kepada Jepun melalui Versailles.
Keadaan tersebut menjadikan Jepun sebagai kuasa yang teragung di Asia.
Oleh yang demikian, Amerika telah berusaha menganjurkan satu
persidangan yang bertujuan untuk menyekat kuasa Jepun dan menyelesaikan
masalah-masalah yang berbangkit di Timur Jauh. Persidangan Washington
telah diadakan pada 21 November 1921. Melalui perjanjian ini, Jepun
terpaksa memulangkan wilayah Shantung dan menggugurkan 21 Tuntutan.


Gerakan 4 Mei telah merintis jalan bagi perkembangan fahaman Komunis di
China. Hal ini Gerakan 4 Mei telah menyediakan satu suasana yang sesuai
bagi Rusia untuk meluaskan pengaruhnya dan merapatkan hubungannya
dengan China serta menyebarkan fahaman Marxisme ke China. Pada tahun
1918, Li Ta Chao telah menubuhkan persatuan pengajian Marxisme di
Universiti Peking yang merupakan pusat Gerakan 4 Mei. Kebanyakannya
ahlinya terdiri daripada pelajar universiti termasuklah Chang Kuo Tau
dan Mau Tse Tung yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam
gerakan Komunis di China. Chen Tu Hsiu seorang pemimpin terkemuka
Gerakan 4 Mei menjadi penganut fahaman Marx-Lenin pada tahun 1920.
Beliau telah menubuhkan Persatuan Pemuda Sosialis yang sama di Peking.
Chen Tu Hsiu dan Li Ta Chao seterusnya menubuhkan Parti Komunis China
(PKC) pada tahun 1921 dengan bantuan seorang agen Komunis antarabangsa.


Gerakan 4 Mei telah melemahkan kedudukan hulubalang-hulubalang yang
menguasai Kerajaan China di Peking. Golongan pelajar yang mendapat
sokongan ramai telah mengalahkan hulubalang-hulubalang atas kegagalan
China menjaga kepentingan-kepentingan dalam Perjanjian Versailles.
Malahan kabinet China terpaksa dibubarkan akibat desakan orang ramai.
Sebaliknya, Gerakan 4 Mei berjaya memperbaiki kedudukan Kuomintang
(KMT) yang bertujuan untuk menyatukan China. KMT mendapat rahmat dari
Gerakan 4 Mei kerana sikap Sun Yat Sen yang pro gerakan pelajar. Dengan
demikian, KMT mendapat simpati dan sokongan mereka. Sokongan ini
menguntungkan KMT kerana gerakan pelajar tidak berdasarkan parti
politik. Hal ini membolehkan para pelajar dan masyarakat yang menyertai
gerakan ini memasuki Parti KMT, jika mereka berminat di dalam gerakan
bercorak organisasi. Gerakan 4 Mei telah memberi inspirasi kepada Sun
Yat Sen untuk menegakkan kuasa KMT di China. Ketika ini, KMT muncul
sebagai sebuah organisasi yang terpenting di China. KMT seterusnya
berjaya menubuhkan kerajaan baru pada tahun 1928 di Nanking.


Gerakan 4 Mei juga mengakibatkan kemundulan Gerakan Kebudayaan Baru.
Beratus-ratus naskah majalah dan akhbar yang bertujuan menyumbangkan
usaha-usaha membina sebuah masyarakat China yang baru telah
diterbitkan. Di antara yang terpenting termasuk Pemuda Baru, Aliran
Baru dan Pembidas Mingguan. Sementara para intelektual China seperti
Chen Tu Hsiu dan Lin Hsun mengkritik masyarakat tradisional China yang
berasaskan ajaran Confucius. Banyak idea-idea dari pengajian
tradisional itu adalah bertentangan dengan kemajuan dan perkembangan
intelektual moden. Pengajaran berbentuk Barat semakin diminati. Jadi,
para intelektual China telah menyokong pembentukan China berasaskan
sains dan idea-idea baru.


Dalam bidang pendidikan, Hu Shih telah memperkenalkan Bahasa Mandarin
sebagai bahasa pengantara dan bahasa kesusasteraan. Pada tahun 1920,
Kementerian Pelajaran telah menetapkan bahawa Bahasa Mandarin wajib
diajar di sekolah rendah dan pada tahun 1930 semua sekolah menengah dan
rendah dikehendaki menggunakan buku tekas Bahasa Mandarin kecuali mata
pelajaran kesusasteraan China.


Sebelum Gerakan 4 Mei, pendidikan hanya dinikmati oleh golongan atas
dan golongan menengah sahaja. Rakyat jelata tidak berpeluang
menerimanya. Sejak Gerakan 4 Mei, banyak sekolah campuran
Barat-Confucius telah ditubuhkan dan mata pelajaran moden telah diajar.
Pada tahun 1907, terdapat lebih kurang 40000 buah sekolah termasuk
universiti dan institusi teknik di China dengan seramai sejuta orang
pelajar. Pada tahun 1933, bilangan sekolah telah meningkat kepada
260000 dan bilangan pelajar bertambah sehingga berjumlah lebih daripada
12 juta orang.


Gerakan 4 Mei telah membangkitkan semangat kebangsaan di kalangan orang
China. Gerakan ini memberi kesedaran kepada masyarakat dan juga
kerajaan tentang tindak-tanduk kuasa-kuasa Barat yang menyebabkan China
terumbang-ambing dan dipermain-mainkan oleh mereka. Gerakan ini telah
menonjolkan golongan pelajar sebagai pembela kepentingan nasional
China. Gerakan mereka bukan sekadar terhad di kalangan golongan pelajar
semata-mata, tetapi melewati pelbagai pihak dalam masyarakat China.
Demonstrasi oleh golongan pelajar mengakibatkan demonstrasi dan
permogokan di seluruh China. Golongan pelajar juga memulakan pemulauan
barangan buatan Jepun. Pemulauan ini mendapat sokongan ramai dan ini
telah menjejaskan perdagangan Jepun dengan China. Perasaan anti-Jepun
telah bertambah di kalangan orang-orang China. Buat kali pertama,
pekerja-pekerja China telah mengadakan demonstrasi secara besar-besaran
di Peking, Tientsin, Shanghai, Hankow dan bandar-bandar lain.


Pendekatan moden yang dibawa oleh pelajar-pelajar sebagai pengajaran
falsafah, sains, idea-idea baru seperti demokrasi, kebudayaan Barat dan
bentuk kesusasteraan moden mula diterima oleh masyarakat. Dalam usaha
mengembangkan nasionalisme, golongan pelajar dan intelek dari
Universiti Kebangsaan Peking telah memainkan peranan penting. Di mana
sesungguhpun Gerakan 4 Mei ini telah memainkan semangat nasionalisme
bangsa China ke tahap yang sangat tinggi berbanding zaman-zaman lain.
Mereka amat sensitif terhadap sebarang bentuk penekanan yang
berunsurkan imperialisme yang dikenakan oleh kuasa-kuasa ke atas bangsa
dan negara China.

*baby*

帖子数: 53
学分 125
注册日期: 09-07-27

查阅用户资料

返回页首 向下

回复: SEJARAH (II) UNTUK STPM

帖子 由 *baby* 于 周一 七月 27, 2009 4:15 am

China

Soalan 2: Bincangkan peranan Sun Yat Sen dalam Revolusi 1911 di negeri China.

Dr. Sun Yat sen yang digelar “Bapa Revolusi China” dilahirkan pada
tahun 1866 di Hsiang Shan iaitu sebuah kampung yang terletak kira-kira
40 batu di Selatan Cantoon. Beliau mendapat pendidikan klasik Kung Fu
Tze dari umur 6 tahun hingga 12 tahun. Pada tahun 1879, beliau telah
mengikuti abangnya ke Honolulu, Hawaii dan memasuki sekolah mubaligh
Anglican. Beliau meneruskan pengajian di Kolej Oahu sehingga tahun
1883. Oleh sebab bimbangkan Sun Yat Sen terpengaruh dengan agama
Kristian, abangnya telah menghantar beliau pulang. Dengan pengaruh
Kristian yang ada padanya, beliau melarang masyarakat kampungnya
menyembah patung kerana tidak memberi apa-apa faedah. Masyarakat
tempatan marah, lalu mengambil tindakan mengusir beliau keluar dari
kampungnya. Setelah meninggalkan kampungnya, beliau mengambil keputusan
melanjutkan pelajaran ke Hong Kong pada tahun 1883 dan belajar di Rumah
Diocesan dan kemudiannya berpindah ke Kolej Queen dan memeluk agama
Kristian.


Semasa berusia 20 tahun, Sun Yat Sen memasuki Sekolah Perubatan Dochi
di Cantoon dan pada tahun 1887 beliau berpindah ke Kolej Perubatan
untuk orang-orang China di Hong Kong. Setelah belajar selama 5 tahun,
beliau lulus dengan tempat pertama dalam kelasnya dan menjadi doktor di
Macao dan kemudiannya berpindah ke Cantoon.


Ketika menuntut di Kolej Perbatan Hong Kong, beliau memperlihatkan
kecenderungan ke arah perkembangan politik moden terutamanya mengenai
nasionalisme, demokrasi cara Amerika dan sejarah revolusinya. Keadaan
politik di Hawaii dan Hong Kong telah mempengaruhi beliau. Perbezaan
yang begitu menonjol antara China dengan Hong Kong dan Hawaii
benar-benar mempengaruhinya untuk menggulingkan sistem monarki dan
menubuhkan kerajaan yang bercorak republik di China.


Dalam usaha mengadakan revolusi, Dr. Sun Yat Sen berpendapat sokongan
orang-orang Cina seberang laut amatlah penting. Justeru itu, pada 24
November 1894, beliau belayar ke Honolulu dan dengan bantuan abangnya,
beliau telah menubuhkan “Hsiung Chung Hui”/“Persatuan Memulihkan Negara
China” dengan keahliannya seramai 112 orang yang kebanyakannya golongan
sarjana. Hal ini merupakan gelaran pertama yang ditubuhkan oleh Dr. Sun
Yat Sen dengan slogan perjuangannya “Singkirkan Orang-orang Manchu,
Pulihkan Pemerintahan Orang-orang China dan Tubuhkan Republik”. Hsiung
Chung Hui merupakan pertubuhan politik yang pertama ditubuhkan di luar
negeri dan mempunyai hubungan dengan cawangan-cawangannya yang
ditubuhkan secara sulit di wilayah-wilayah dalam China bagi mencari
sokongan dan bantuan untuk menggerakkan revolusi.


Pada tahun penghujung tahun 1894, Sun Yat Sen telah berusaha mewujudkan
satu gerakan yang dapat melancarkan revolusi melalui penglibatan
kongsi-kongsi gelap di Cantoon, malangnya usaha beliau melalui Hsiung
Chung Hui telah gagal kerana kurang sambutan dan kejayaan pihak
berkuasa mngesan gerakan mereka. Ekoran daripada itu, beliau terpaksa
melarkan diri ke Hong Kong kerana diburu oleh Kerajaan Manchu. Beliau
mendapat perlindungan di Jepun.


Di Jepun, beliau menghidupkan Hsiung Chung Hui. Antara tahun 1903
hingga tahun 1904, beliau sering berulang-alik antara Jepun, Hawaii,
Amerika dan Eropah. Dalam musim panas tahun 1905, beliau pulang ke
Jepun dan bertemu dengan dua orang nasionalis China iaitu Huang Hsung
dan Sung Chiao Jen. Dengan galakkan dan sokongan Kerajaan Jepun, Sun
Yat Sen dan pengikut-pengikutnya telah berjaya mengumpulkan orang-orang
China dari pelbagai golongan di Tokyo pada bulan Ogos 1905. Dalam
perjumpaan yang besar ini, Sun Yat Sen telah menubuhkan Tung Meng
Hui/Liga Bersatu pada 20 Ogos 1905. Tung Meng Hui merupakan gabungan
Hsiung Chung Hui dengan 2 persatuan revolusioner yang lain iaitu Hua
Hsiung Hui dan Kung Fu Hui. Tujuan Tung Meng Hui ialah untuk
menggulingkan Kerajaan Manchu dan menubuhkan sebuah republik di China.


Cawangan-cawangan Tung Meng Hui telah ditubuhkan di Singapura,
Brussels, San Francisco, Honolulu dan bandar-bandar penting di China.
Melalui cawangan-cawangan seberang laut, Sun Yat Sen telah memungut
dana dan merekrut sukarelawan bagi melaksanakan pemberontakan di China.
Tung Meng Hui juga dikembangkan di China khsanya di bahagian China
Selatan. Ianya dikembangkan melalui pertubuhan-pertubuhan kongsi gelap.


Sun Yat Sen telah memainkan peranan penting dalam perkembangan perasaan
anti-Manchu di kalangan orang-orang China. Beliau berjuang
bersungguh-sungguh untuk menyebarkan perjuangannya di kalangan
orang-orang China, khasnya di kalangan mereka yang berada di seberang
laut. Beliau berkhutbah pemberontakan nasionalis melalui
rencana-rencana akhbar. Beliau telah menerbitkan akhbar sendiri iaitu
Ming Pao/The People di Tokyo. Melalui penerbitan ini, idea-idea
republik beliau disebarkan. Selain berjaya mengumpulkan dan
mempengaruhi orang-orang China yang berada di Jepun, terutamanya para
pelajar, beliau juga berkunjung ke merata tempat di dunia khasnya di
Amerka dan Eropah. Tujuannya ialah mendapat sokongan moral dan material
dari masyarakat China di luar negeri. Kesungguhan beliau telah
menghasilkan kejayaan. Beliau berjaya mendapat sokongan moral mereka,
khasnya dari segi kewangan. Sokongan tersebut sangat penting bagi
membolehkan Tung Meng Hui menjalankan kegiatan pemberontakan di China.
Hasil usaha Sun Yat Sen yang bersungguh-sungguh itu menyebarkan Tung
Meng Hui begitu popular dan mendapat sambutan dari pelbagai golongan
sama ada dalam atau luar negeri. Gerakan revolusioner pimpinan Sun Yat
Sen mendapat sokongan pelajar, rakyat China yang tidak puas hati dengan
Kerajaan Manchu, ahli-ahli kongsi gelap dan tentera China yang
dilatihkan secara Barat.


Ketika Sun Yat Sen berusaha mendapat sokongan di Barat, didapati
usaha-usaha menyekat pergerakan beliau diteruskan oleh Kerajaan Manchu.
Semasa di London pada tahun 1896, beliau diculik oleh diplomat China
dari kedutaan dan berusaha untuk menghantarnya pulang ke China untuk
menghadapi tuduhan subversif dan dijatuhkan hukuman mati. Dengan
pertolongan London, Dr. Cantlie dan Kementerian Luar British, beliau
telah dapat diselamatkan. Peristiwa ini meninggalkan kesan yang penting
ke arah mempercepatkan lagi proses perjuangan revolusi kerana akhbar
Londin menyiarkan secara besar-besaran.


Perjuangan beliau menjadi lebih berkesan dan menarik sokongan
orang-orang China kerana beliau mengemukakan ideologi/prinsip
perjuangan. Beliau mengemukakan juga prinsip rakyat/San Min Chui iaitu
nasionalisme, demokrasi dan kebajikan rakyat. Ideologi ini telah
menyumbangkan kepada perkembangan gerakan revolusioner di China.
Tujuannya untuk melaksanakan prinsip-prinsip tersebut.


Di sebalik usaha-usaha menguatkan pertubuhan ini, Dr. Sun Yat Sen tetap
menggerakkan Tung Meng Hui ke arah mencetuskan revolusi. Bagi
menggerakkan revolusi mulai tahun 1906, beberapa pemberontakan kecil
telah berjaya dilancarkan di beberapa tempat dalam wilayah Selatan
China. Pemberontakan telah diprojekkan di Jepun. Oleh sebab mendapat
protes yang kuat dari Kerajaan China, Jepun tidak dapat membenarkan Dr.
Sun Yat Sen dan Tung Meng Hui digerakkan dari Jepun. Oleh itu, pada
tahun 1907, Dr. Sun Yat Sen dan sekutunya terpaksan berpindah ke Hanoi
bagi meneruskan gerakannya. Pada 11 April 1911, satu gerakan telah
diatur bagi melancarkan revolusi tetapi gagal dan menyebabkan 72 orang
tokoh revolusioner terkorban. Di antara tahun 1906 hingga tahun 1911,
Dr. Sun dan pengikut-pengikutnya telah merancang, mengatur dan
mencetuskan hampir sepuluh pemberontakan dan beberapa pembunuhan di
China. Pemberontakan yang dianjurkan semuanya gagal dan dapat diatasi
oleh Kerajaan Manchu. Namun begitu, ia telah mengakibatkan kemerosotan
pengaruh dan kewibawaan Kerajaan Manchu. Pemberontakan Wu Cang pada 10
Oktober 1911 yang dimulakan oleh tentera China hasil pengaruh Tung Meng
Hui adalah menandakan permulaan revolusi China. Daerah-daerah lain di
bawah pengaruh Tung Meng Hui juga turut memberontak. Hal ini
mengakibatkan kejatuhan Kerajaan Manchu dan penubuhan sebuah kerajaan
republik di China. Dr. Sun Yat Sen telah dilantik sebagai Presiden
Kerajaan Sementara yang ditubuhkan di Nanking.


Dr. Sun telah menubuhkan Parti Kuomintang pada tahun 1912 yang seterusnya menguasai negeri China pada tahun 1928.

*baby*

帖子数: 53
学分 125
注册日期: 09-07-27

查阅用户资料

返回页首 向下

浏览上一个主题 浏览下一个主题 返回页首


您在这个论坛的权限:
不能在这个论坛回复主题