RENCANA : REVOLUSI SISTEM PENDIDIKAN

浏览上一个主题 浏览下一个主题 向下

RENCANA : REVOLUSI SISTEM PENDIDIKAN

帖子 由 言言 于 周日 七月 26, 2009 10:47 am

Revolusi sistem pendidikan

Oleh ANUAR AHMAD

SETELAH menjajah hampir dua abad, kuasa kolonial Inggeris bukan sahaja
mewariskan kepada kita sistem berpolitik dan pentadbiran negara, tetapi
juga sistem pendidikan mereka. Setelah 50 tahun merdeka, tidak banyak
perubahan yang dilakukan di dalam sistem pendidikan kita kecuali
menokok tambah sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh British sejak
tahun 1819. Antaranya, membina falsafah pendidikan negara yang
dikatakan beracuankan Malaysia melalui pengenalan KBSR dan KB*** pada
tahun 1980an. Manakala sebahagian besar sistem pendidikan (dasar
pendidikan, struktur organisasi dan aktiviti institusi) masih lagi
mengekalkan warisan pendidikan kolonial. Mungkin ada yang tidak
bersetuju khususnya di kalangan pegawai Kementerian Pelajaran, tetapi
jika diteliti, hakikat ini tidak dapat dinafikan. Antara yang ketara,
kita masih mengekalkan sistem pendidikan vernakular berasaskan etnik,
mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, memisahkan pendidikan
Islam daripada pendidikan ilmu sosial dan teknikal. Pengenalan Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) walaupun dilihat seperti cuba
melengkapi kelemahan ini, perlaksanaanya masih belum membuktikan
apa-apa kejayaan setakat ini. Soalnya, apakah mewarisi sistem kolonial
itu menjadi satu kesalahan? Adakah kalau kita belum mempunyai sistem
pendidikan beridentiti Malaysia itu satu kekurangan? Atau tidak
bermutukah pendidikan kita jika tidak menggunakan model pendidikan
kolonial British.Persoalan ini sebenarnya sukar dijelaskan secara
langsung tetapi perlu difahami terlebih dahulu latarbelakangnya.
Sebagai contoh, sistem pendidikan vernakular misalnya walaupun sering
dikatakan menjadi duri dalam daging untuk membina perpaduan telah
berevolusi selama lebih 150 tahun dan tidak boleh diketepikan begitu
sahaja dan sudah menjadi salah satu tradisi di negara kita. Lihat
misalnya jadual 1 hingga 3 berkaitan sekolah mengikut etnik di Malaysia
pada tahun 1996-2006.

Setelah 50 tahun merdeka, sistem pendidikan masih mempunyai beberapa
kekurangan yang sangat perlu kita selesaikan. Setelah mengumpul dan
meneliti beberapa dokumen penyelidikan serta kertas perbincangan
akademik berkaitan pendidikan kebangsaan, penulis dapat menyenaraikan
lima isu utama pendidikan yang perlu direvolusikan oleh pemimpin di
peringkat Kementerian Pelajaran. Pertamanya, Kementerian Pelajaran
perlu meneliti semula secara menyeluruh kandungan kurikulum yang
semakin tidak relevan di sekolah. Bayangkan, mengapa di dalam suasana
pelajar sudah boleh mengakses kepada maklumat melalui Internet,
kandungan kurikulum sejarah khususnya zaman kerajaan pra sejarah masih
dimasukkan dengan begitu mendalam di dalam buku teks sejarah. Pada masa
yang sama, sejarah tahun 1970-an dan 1980-an sangat kurang disentuh di
dalam kurikulum sejarah. Malah subjek sejarah juga sepatutnya
disepadukan dengan kemahiran pembelajaran multibudaya sesuai dengan
kehidupan masyarakat plural di Malaysia.

Sejarah tidak hanya dipelajari kerana kandungannya sahaja tetapi juga
untuk memahami kumpulan etnik serta kumpulan agama yang lain agar
hubungan etnik di kalangan rakyat akan sentiasa terjalin dengan
harmoni.Keduanya, kita juga menghadapi krisis pembangunan pendidikan
bahasa. Walaupun program memperkasakan Bahasa Inggeris telah
dilaksanakan di peringkat sekolah rendah namun hanya pada akhir tahun
ini saja keputusan akan diketahui sama ada projek ini akan diteruskan
atau tidak. Bagaimanapun jelas sekali di peringkat masyarakat massa,
para guru, penyelidik, ibubapa serta pelajar merasakan penggunaan
Bahasa Inggeris melalui subjek Matematik dan Sains bukanlah suatu
keputusan yang bijak. Selain jurang antara pelajar di bandar dan luar
bandar semakin melebar dari segi pencapaian, jurang pencapaian juga
semakin ketara di kalangan pelajar melayu dan bukan melayu. Malah
pelajar melayu khususnya, minat terhadap matapelajaran Sains dan
Matematik juga dikatakan menurun selepas dasar ini diperkenalkan sejak
lima tahun lepas. Pada masa yang sama, kita juga mengalami krisis
kemerosotan keupayaan Bahasa Melayu di kalangan para pelajar Melayu dan
bukan Melayu. Sebagai bahasa perpaduan dan juga bahasa komunikasi,
jelas sekali bahawa Bahasa Melayu semakin hilang sengatnya.

Kalangan remaja Melayu khususnya di bandar sudah mulai kurang bertutur
bahasa Melayu kerana cara hidup yang lebih mengutamakan bahasa
Inggeris. Manakala di kalangan remaja bukan Melayu hanya menggunakan
bahasa itu proses pembelajaran di bilik darjah. GemarMereka lebih
cenderung untuk mengunakan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris di dalam
kehidupan harian. Malah pelajar juga dikatakan seringkali gemar
menggunakan bahasa Melayu 'rojak' dan tidak berkemahiran menggunakan
bahasa Melayu standard di dalam perucapan mereka. Apakah kita rasa
selesa dan tidak kisah dengan keadaan seperti ini berlaku kepada remaja
kita? Maka itu, pihak kementerian perlu meneliti semula keupayaan serta
meningkatkan kapasiti ruang untuk penggunaan bahasa Melayu merentasi
kurikulum yang lain. Selain itu, pendidikan menggunakan bahasa Melayu
dengan betul dan sistematik juga perlu dikemaskan kembali. Ketiganya,
keperluan rasa keinsafan dan keinginan bersungguh-sungguh khususnya di
kalangan para pegawai tertinggi Kementerian Pelajaran untuk
meningkatkan pembangunan pendidikan di kalangan pelajar di pendalaman,
luar bandar serta setinggan di bandar.

Peruntukan khas juga sememangnya diperlukan untuk membantu kumpulan ini
secara berterusan. Kumpulan ini sebenarnya memerlukan lebih daripada
apa yang ada sekarang. Di atas dasar pendidikan untuk semua serta
pendemokrasian pendidikan, kumpulan yang kurang bernasib baik kerana
kemiskinan ibu bapa perlu dibantu sehingga mereka dapat keluar daripada
lingkungan kedaifan untuk mendapat pendidikan. Perlunya satu dasar dan
strategi yang besar untuk menyelesaikan isu ini di pihak Kementerian
Pelajaran. Sehingga kini, tiada satupun strategi yang dapat dinobatkan
sebagai berjaya meningkatkan peluang pendidikan bagi mereka yang
tinggal di pendalaman khususnya Sabah, Sarawak serta Kelantan. Begitu
juga dengan kumpulan pelajar di luar bandar yang hidup serba kekurangan
dan juga anak-anak di kawasan setinggan yang tertekan untuk mendapat
pendidikan yang sempurna dan berkualiti. Isu ke empat ialah penekanan
yang keterlaluan terhadap sains dan teknologi tidak akan melahirkan
keseimbangan individu seperti yang diharapkan di dalam falsafah
pendidikan negara. Penekanan juga harus diberikan kepada pembangunan
estetika dan seni budaya kepada para pelajar. Ilmu muzik, tarian, seni
tampak dan seni halus perlu digabungkan di dalam kurikulum sekolah agar
para pelajar memiliki jiwa yang halus serta menghargai kehidupan dan
budaya. Malangnya oleh kerana kesibukan pihak sekolah mengajar sains
dan teknologi akhirnya menghasilkan insan yang bukan sahaja tidak
mempunyai minat di dalam menghargai seni dan budaya tetapi juga
menipiskan jati diri serta identiti bangsa.

Pihak kementerian perlulah menyusun semula kurikulum agar lebih
holistik dan menimbangkan pembangunan pelajar secara menyeluruh dan
seimbang. Akhir sekali, kita perlukan revolusi pendidikan yang besar
jika ingin melihat Islam sebagai agama yang memandu kehidupan anak-anak
kita apabila mereka dewasa nanti. Kolonialisme telah berjaya memecahkan
kehidupan orang Melayu kepada segmen-segmen yang kecil dan dilihat
berasingan antara satu sama lain. Orang Melayu pada akhirnya dibentuk
untuk mengamalkan sistem pendidikan ala barat tetapi kemudiannya
kembali kepada Islam apabila tiba waktu untuk beribadat. Kejayaan
kolonialisme telah menyebabkan kita memisahkan pendidikan Islam
daripada pendidikan arus perdana di negara kita. Peranan pendidikan
agama telah dikesampingkan dan diserahkan kepada pihak swasta atau
orang perseorangan untuk mengajarkan pendidikan Islam kepada anak-anak
melalui sekolah agama swasta atau belajar agama di rumah-rumah guru
agama. Kecuali di negeri Johor yang berjaya menguruskan sistem
pendidikan agama, di negeri lain termasuk di Kelantan dan Kedah yang
terkenal dengan sistem pendidikan pondok pada suatu masa lalu, kini
pendidikan agama diletakkan di dalam kelas yang lebih rendah daripada
pendidikan arus perdana. Manakala di sekolah, masa yang diperuntukan
untuk pendidikan agama sekitar empat hingga enam jam seminggu adalah
terlalu kecil dan tidak memadai. Maka pendekatan yang lebih radikal,
drastik dan berani perlu dilaksanakan supaya pendidikan Islam ditadbir
urus secara menyeluruh dan menjadi teras kepada sistem pendidikan arus
perdana oleh pihak Kementerian Pelajaran. Walaupun isu-isu di atas
sentiasa dibualkan di kalangan rakyat, sejauh manakah tindakan telah
diambil di dalam menangani isu ini. Tindakan secara sekali sekala atau
ad hoc bukan sahaja akan menemui kegagalan tetapi juga seringkali
menimbulkan keraguan di pihak ibu bapa.

Itulah sebabnya perlaksanaan konsep Kemahiran Berfikir Secara Kritis
dan Kreatif (KBKK), pendidikan nilai dan kewarganegaraan serta
perlaksanaan Bahasa Inggeris di dalam matematik dan sains sering
ditempelak, tidak lain dan tidak bukan kerana sifatnya yang ad hoc dan
tidak dirancang secara teliti dan berhati-hati. Walaupun pihak
Kementerian Pelajaran telah berjaya meningkatkan keupayaan pengurusan
pendidikan, latihan guru serta lain lain hal yang berkaitan dengan
pendidikan tetapi sehingga kini perbincangan masyarakat massa
menunjukkan lima isu di atas sudah sampai ke tahap yang perlukan
pengubahsuaian atau lebih baik merevolusikan sistem pendidikan untuk
kebaikan anak-anak cucu pada masa depan.

言言

帖子数 : 89
学分 168
来自 : malaysia
注册日期 : 09-07-25
年龄 : 21

查阅用户资料

返回页首 向下

浏览上一个主题 浏览下一个主题 返回页首


 
您在这个论坛的权限:
不能在这个论坛回复主题