RENCANA : GELOMBANG MEMBACA

浏览上一个主题 浏览下一个主题 向下

RENCANA : GELOMBANG MEMBACA

帖子 由 言言 于 周日 七月 26, 2009 10:45 am

Daya penarik gelombang membaca

Oleh KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM

DALAM membicarakan pengwujudan gelombang membaca, bukulah yang menjadi
daya penariknya. Sekiranya buku tidak ditulis, tiadalah pembacaan.
Sekiranya ia ditulis tanpa ilmu, tiadalah tamadun. Walaupun definisi
membaca itu bukan sekadar perlu dilihat pada buku, namun bagi penulis,
buku itu seharusnya didefinisikan secara lebih meluas lagi. Buku bukan
sekadar bermaksud helaian-helaian kertas yang dijilid, malah seharusnya
meliputi bahan-bahan bacaan yang lainnya, seperti majalah, suratkhabar
dan sebagainya. Sekiranya penjenisan bahan bacaan ini dikumpulkan
sebagai buku, tentunya kajian pembacaan kita akan menunjukkan peratusan
pembacaan yang lebih tinggi. Disebabkan kehidupan yang lebih mencabar
masa kini, hierarki Maslow telah berubah sifatnya. Menyebabkan
keperluan asas manusia itu semakin meluas definisinya.

Tidak lagi hanya tertumpu kepada pakaian, makanan dan tempat tinggal,
malah kenderaan, pendidikan, televisyen seharusnya didefinisikan juga
sebagai keperluan. Tentu semuanya ini pada 50 tahun lalu ia dikelaskan
sebagai kehendak. Apatah lagi setelah diperkenalkan oleh Alvin Toffler
menerusi bukunya The Third Wave yang merujuk alaf baru ini sebagai
gelombang ketiga. Pendidikan dan modal insan menjadi intipati utama.
Buku seharusnya memainkan peranan ini. Untuk menjadi daya penarik, buku
perlulah mempunyai kualiti tertentu. Tentunya kepada masyarakat kita,
harga menjadi faktor utama. Mungkin sukar untuk memaksa penerbit
menurunkan harga sesebuah buku. Bagi masyarakat yang kurang membaca,
harga menjadi penghalangnya.

Berbeza kepada masyarakat yang membaca. Lagi mahal sesebuah buku itu,
ia akan menjadi rebutan. Buku mempunyai 'harga' nya yang tersendiri.
Bukannya harga dalam bentuk ringgit atau sebarang mata wang, sebaliknya
harga kepada ilmu itu sendiri. Namun, bagi masyarakat yang tidak
membaca, yang belum lagi menjadikan buku sebagai keperluan asas,
makanan kepada hati dan akal mereka, isu harga perlu dipandang serius
sekiranya mahu menarik minat membaca. Berlumba-lumbaSelalunya
masyarakat yang tidak membaca adalah masyarakat yang miskin, yang masih
mengejar wang untuk hidup, dan yang masih berlumba-lumba untuk
kesenangan sehinggakan ruang masa dihabiskan untuk tujuan pencarian
itu. Seperti mana yang disebut oleh Gabriel Zaid dalam bukunya So Many
Books (2004), bahawa buku adalah barang yang mahal kepada orang-orang
miskin, yang sakit, banduan, pesara dan pelajar.

Dan apabila para pelajar tersebut kemudiannya menjadi pegawai yang
dipenuhi masa mereka dengan kerja dan apabila gaji mereka dinaikkan,
maka membaca (jika ia tidak diperlukan) juga mahal bagi mereka. Apa
yang dapat difahami daripada kata-kata Gabriel Zaid itu ialah buku itu
bukan sekadar mahal dari segi harganya kepada golongan-golongan miskin
dan yang kurang kemampuan, malah ia akan terus mahal kepada golongan
pertengahan atau yang kaya, kerana kekurangan ruang waktu untuk
membaca. Dari segi faktor ekonomi, harga buku akan terus mahal
sekiranya kurang permintaan daripada masyarakat. Ini hukum ekonomi.
Sekiranya jumlah penerbitan buku itu bertambah, dengan kos penerbitan
(seperti kos kertas) dapat dikurangkan, tentunya harga buku di pasaran
dapat dikurangkan.

Namun begitu, harga sesebuah buku, sama ada mahal atau tidak,
seharusnya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak membaca. Sekiranya
barang kehendak dapat dipenuhi, seperti mencantikkan kenderaan, apa
salahnya untuk membeli sebuah buku yang berharga RM50? Kesan daripada
kenaikan harga minyak, juga akan menyebabkan harga-harga barangan lain,
mungkin termasuklah buku turut bertambah, sekali gus menjauhkan lagi
hubungan antara masyarakat Malaysia dan buku, yang sebelum ini umum
sudah tahu terjarak, akan semakin terjarak. Untuk mewujudkan gelombang
membaca, kesedaran masyarakat itu adalah yang terpenting. Memang benar,
harga-harga sesebuah buku itu memainkan peranan yang besar dalam
masyarakat Malaysia, namun faktor lain perlu dicari sebagai menarik
minat membaca.

Daya-daya penarik yang seharusnya ada dalam sesebuah buku ialah kulit
yang menarik, jenis kertas, ilustrasi (sekiranya perlu), malah yang
terpenting ialah isinya. Bentuk dan saiz buku juga seharusnya menjadi
antara faktor penarik. Namun sudah tentu untuk mewujudkan daya-daya
penarik ini, sesebuah penerbit perlu mengeluarkan sejumlah kos untuk
menampung tenaga kerjanya. Sekali lagi, ia adalah sebahagian daripada
hukum ekonomi. Maka, sebagai penerbit yang bukan sekadar ingin mengaut
keuntungan wang ringgit, keuntungan akhirat perlu juga dititikberatkan.
Fungsi dan kesedaran penerbit sebagai agen pengubah bangsa dan tamadun
perlu sentiasa diambil kira. Sekiranya penulis diibaratkan sebagai
pemegang mata pena yang lebih tajam daripada pedang, maka penerbitlah
si badan pena itu.

言言

帖子数 : 89
学分 168
来自 : malaysia
注册日期 : 09-07-25
年龄 : 21

查阅用户资料

返回页首 向下

浏览上一个主题 浏览下一个主题 返回页首


 
您在这个论坛的权限:
不能在这个论坛回复主题