OLIMPIK BEIJING NATIJAH KERAKUSAN MANUSIA

浏览上一个主题 浏览下一个主题 向下

OLIMPIK BEIJING NATIJAH KERAKUSAN MANUSIA

帖子 由 言言 于 周日 七月 26, 2009 10:37 am

ETIKA pesawat hampir mendarat di lapangan terbang Beijing, China saya
dapat melihat dengan jelas ruang udara berubah daripada cerah menjadi
kelam. Semakin hampir mendarat semakin ketara bahawa perubahan itu
disebabkan jerebu akibat pencemaran udara yang menyelubungi kota raya
Beijing. Demikian pengalaman saya pada September 2006 ketika menghadiri
Kongres Air Sedunia. Secara kebetulan tapak kongres itu berhampiran
stadium 'sangkar burung' Olimpik. Ketika itu aktiviti pembinaan
berjalan rancak menyebabkan ruang udara bukan saja kelam, bahkan kesan
debu dan bahan yang boleh mewujudkan pencemaran udara dapat dirasakan
ketika bernafas sehingga menjejaskan kesihatan saya sepanjang 10 hari
di Beijing. Pengalaman sedemikian turut dialami ramai peserta kongres
lain. Demikian fenomena ekosistem Beijing sehingga apa saja aktiviti
bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di Beijing sejak beberapa tahun
kebelakangan ini akan dikaitkan dengan risiko kesihatan peserta dan
pengunjung luar negara. Terkini, temasya Sukan Olimpik bermula hari ini
pada tarikh 8.8.08, iaitu satu deretan angka yang diharap membawa tuah
menurut kepercayaan numberologis Cina. Sukan Olimpik Beijing adalah
penganjuran temasya terbesar dalam sejarah moden China pada peringkat
antarabangsa. Itu sebabnya persediaan dan pemaparan imej diberi
keutamaan pemerintah China. Sukan Olimpik bukan saja dijangka dapat
memperagakan kehebatan ahli sukan China malah direncana supaya menjadi
pentas menyaksikan kemajuan negara itu dalam banyak bidang.

Memang dimaklumi bahawa China mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi
konsisten melebihi 10 peratus sejak awal 1990-an. Pertumbuhan
sedemikian pesat juga menunjukkan bahawa China dapat menangani
kepelbagaian isu sosioekonomi dalam kerangka baru dengan mengadunkan
kapitalisme untuk memacu pembangunan ekonomi dengan status quo sistem
politik komunisme. Banyak pihak akur bahawa China berjaya memacu
kemajuan dengan peningkatan menakjubkan. Kadar pembangunan yang dicatat
adalah rekod terpantas setakat ini. Hal ini, menjadikan China pesaing
utama negara maju khususnya dari segi pengeluaran pelbagai produk, di
samping memanfaatkan saiz pasaran dalam negeri melebihi satu bilion
pengguna. Sebagai pesaing, banyak negara maju cuba mencari kelemahan
China untuk sekurang-kurangnya menjustifikasikan bahawa kemajuan China
dicapai dengan mengorbankan ciri, nilai dan piawai sejagat. Dalam hal
ini, ciri paling ketara dianggap kelemahan China ialah pelestarian alam
sekitar. Sejak memenangi hak penganjuran Sukan Olimpik pada 2001, China
merancang sesuatu yang luar biasa dari segi kemudahan sukan,
pelancongan dan kemudahan awam. Malah, sebahagian besar pembangunan
fizikal Beijing dirancang semula untuk memenuhi keperluan penganjuran
Sukan Olimpik.

Ia membabitkan kemudahan pengangkutan, penginapan, perdagangan dan
pelancongan. Malah, masyarakat tempatan turut mendapat pelbagai
kemudahan dan prasarana moden selari dengan imej baru China. Namun,
aspek pelestarian alam sekitar agak ketinggalan. Pencemaran udara dan
sumber air semakin meningkat seiring dengan peningkatan kadar
pertumbuhan ekonomi. Pengurusan sisa juga menjadi kian mencabar.
Sehingga kini, China tidak banyak pilihan kecuali menangani pencemaran
alam sekitar secara reaktif. Menyedari dilema itu, China mengambil
pelbagai langkah mengurangkan impak alam sekitar dengan tegas dan biaya
besar. Strateginya ialah mengurangkan bahan cemar pada peringkat sumber
dan memantapkan ekosistem untuk menyerap muatan pencemaran yang
dibebaskan.
Selain itu, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNEP) juga memberi khidmat kepakaran. Beberapa negara maju turut
'membantu'. Sejak beberapa bulan lalu, kira-kira 100 saintis alam
sekitar dari 20 institusi antarabangsa memantau tahap pencemaran udara
di Beijing dan kawasan sekitarnya. Semua institusi itu – termasuk dari
Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman – menggunakan pelbagai teknologi
canggih, termasuk remote sensing menerusi cerapan satelit. Selain itu,
sampel rawak dipilih di kalangan penduduk Beijing untuk menilai sejauh
mana kesan pencemaran udara dan air terhadap pelbagai inisiatif
dilakukan kerajaan.

Biarpun banyak inisiatif dilakukan, namun jerebu dan pencemaran udara
masih berlaku, terutama ketika cuaca panas dengan kelajuan angin
minimum. Kerajaan China memang peka dengan masalah itu lantas
memperkenalkan pelbagai inisiatif yang sesetengahnya dianggap radikal
seperti penutupan operasi 267 kilang di sekitar Beijing yang dikenal
pasti mencemarkan udara. Selain itu, penggunaan kenderaan persendirian
juga dikurangkan sebanyak sejuta unit sejak minggu ketiga Julai lalu.
Bilangan penutupan kilang dan pengurangan kenderaan di jalan raya
dijangka ditingkatkan jika tahap pencemaran udara masih tidak dapat
dikurangkan. Dari segi peruntukan, sejumlah $17 bilion dolar
dibelanjakan untuk mengawal pencemaran alam sekitar. Hampir 90 peratus
kumbahan dirawat dengan sempurna, keluasan kawasan hijau menjadi 50
peratus dan penggunaan gas asli membekalkan 60 peratus tenaga elektrik
di Beijing. Sementara itu, 50,000 teksi dan 10,000 bas baru digunakan
untuk menggantikan yang sudah uzur supaya pelepasan asap dapat dikawal.
Jaringan kereta api bandar pula ditambah 200 kilometer lagi. Pelaburan
itu tidak termasuk kos melepas menerusi pelbagai inisiatif yang
menjejaskan keuntungan syarikat dan individu menerusi penutupan
sementara kilang, pengurangan kenderaan persendirian di jalan raya dan
sebagainya. Standard pelepasan bahan cemar air dan udara juga
diperketatkan setanding kebanyakan negara Eropah. Ternyata China
memahami bahawa pelestarian alam sekitar bukan lagi suatu trend,
kerenah atau kegilaan rakyat negara maju semata-mata. Pelestarian alam
sekitar penting untuk semua pihak. Tanpa alam sekitar yang bersih,
bebas daripada pencemaran dan seimbang, maka kesihatan dan
kesejahteraan manusia terancam. Pelancong, atlit dan peminat sukan
berasa tidak selamat, malah implikasi ekonomi begitu ketara.

Pengalaman China menganjurkan Sukan Olimpik ini menunjukkan bahawa isu
alam sekitar juga boleh dieksploit sehingga menjejaskan imej dan nama
baik sesebuah negara. Foto atlit memakai topeng muka (mask) ketika
berlatih dibesar-besarkan media antarabangsa seolah-olah tahap
pencemaran udara di Beijing akan menjejaskan prestasi mereka pada
temasya itu sehingga mendapat bantahan Majlis Olimpik Antarabangsa.
Selain itu, penganjuran Sukan Olimpik Beijing juga menunjukkan bahawa
perancangan projek pembangunan – apatah lagi berskala mega – perlu
disepadukan dengan inisiatif pelestarian alam sekitar sejak awal lagi.
Perancangan awal bersifat pencegahan dan jauh lebih murah. Mencegah
juga lebih efektif berbanding mengawal limpahan pencemaran yang terjana
menerusi urbanisasi dan industrialisasi.



Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan
dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia dan Pengurus Air dan Alam
Sekitar bertauliah (CWEM)

言言

帖子数 : 89
学分 168
来自 : malaysia
注册日期 : 09-07-25
年龄 : 21

查阅用户资料

返回页首 向下

浏览上一个主题 浏览下一个主题 返回页首


 
您在这个论坛的权限:
不能在这个论坛回复主题